Malaysia berdepan risiko jenayah siber menggunakan AI

Oleh Hamizan Sharbini

Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini merentas pelbagai bidang.

Sebagai cabang ilmu sains komputer, AI membantu kita membuat keputusan.

Ia juga berpotensi menawarkan manfaat yang luas, terutama meningkatkan keberkesanan di tempat kerja.

Memetik laporan BERNAMA, AI dikatakan juga berpotensi digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi teknologi ini bagi tujuan jenayah.

Kemampuan AI meniru ciri-ciri manusia seperti wajah, tubuh, dan suara menjadikannya hampir sempurna kini turut digunakan dalam penipuan siber.

Meskipun di Malaysia kes jenayah yang melibatkan AI belum berleluasa, namun kejadian serupa dilaporkan sering berlaku di luar negeri.

Menurut Ts. Syahrul Nizam Junaini, felo penyelidik Pusat Data Sains yang juga pensyarah kanan Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), AI yang digunakan dalam penipuan melibatkan algoritma yang dapat meniru ciri-ciri visual dan audio.

Sukar bagi kita membezakan yang asli dan yang palsu.

Contoh teknologi AI adalah Deepfake. Ia dapat menghasilkan video palsu yang mirip video asli.

Peningkatan ini menimbulkan cabaran bagi agensi penguatkuasa dalam menangani penipuan dalam talian dan jenayah kewangan.

Penggunaan AI dalam kes jenayah memerlukan kepakaran khusus, terutama dalam menangani bukti kes penipuan digital.

Bagi menangani ancaman jenayah siber, Syahrul Nizam menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan jumlah pakar AI selain memastikan kepakaran pegawai sedia ada sentiasa dipertingkatkan seiring perkembangan teknologi.

PDRM juga digalakan bekerjasama dengan penyelidik dari pusat pengajian tinggi.

Pada masa sama, teknologi AI untuk mencegah jenayah juga perlu dimanfaatkan.

Di samping itu, kerajaan perlu bersedia menyediakan dana memastikan sistem keselamatan siber lebih terjamin.

Artikel ini berkaitan Sustainable Development Goal (SDG 16) – Peace, Justice and Strong Institutions.